Johor Darul Ta’zim (JDT) sah bergelar juara Divisyen 1 Liga Premier Futsal Malaysia (MPFL).
Kejayaan itu dicapai anak buah Juan Antonio Miguel Garcia dengan menewaskan Sabah FA 4-1 dalam aksi terbaru Divisyen 1.
JDT hanya memerlukan keputusan seri atau menang untuk merangkul kejuaraan buat kali kedua. Sabah pula berharap dapat melewatkan keraian pelawat selama seminggu lagi.
Miguel Garcia memilih Bruno Taffy sebagai sandaran gol Harimau Selatan. Igor Paulo Silva de Freitas dan Vitor da Silva terus menjadi tonggak kekuatan Sabah.
Tuan rumah terlebih dahulu membuka tirai jaringan menerusi Muhd Taufik Abdul Wahab seawal minit kedua.
Gol tersebut menceriakan penyokong Sabah yang berada di Dewan Sri Putatan, Kota Kinabalu. Ini dilihat memberi peluang kepada anak buah Roger Filipe Augusto Gouveia untuk mencipta kejutan ke atas juara edisi 2024 itu.
Tersentak, JDT mula melancarkan serangan menerusi Taffy, Awalluddin Mat Nawi dan Firdaus Ambiah untuk memburu gol penyamaan.
Hasilnya, Taffy memastikan kedua-dua pasukan terikat 1-1 sehingga rehat menerusi gol pada minit ke-18.
Bersambung pada babak kedua, anak buah Augusto Gouveia semakin bernafsu memburu gol kedua perlawanan.
Farhan Arman hampir menggandakan kelebihan Sabah tetapi percubaan beliau dinafikan penjaga gol JDT, Azrul Hadee Mohd Taufiq.
Gol kedua yang dicari Harimau Selatan akhirnya hadir menerusi Firdaus. Beberapa minit selepas itu, giliran Awalluddin pula mencetak nama sebagai penjaring.
Gol jarak jauh Danial Abdul Dain memastikan kemenangan 4-1 menjadi milik JDT pada akhir perlawanan. Ini sekaligus mengesahkan gelaran juara milik JDT.
Harimau Selatan berpeluang menutup kempen Divisyen 1 dengan kemenangan apabila menentang Selangor FC pada 12 Julai. Sabah pula akan menutup kempen dengan menentang Kedah pada hari sama.