Johor Darul Ta’zim (JDT) dan Selangor FC dijangka menggunakan percaturan sama menjelang musim baharu tidak lama lagi.
Skuad Harimau Selatan kekal mendominasi 4 trofi domestik buat musim ketiga berturut-turut selepas membenam cabaran Sri Pahang pada aksi final Piala Malaysia 2025 baru-baru ini.
Selangor kendalian Katsuhito Kinoshi pula terus menjadi pencabar utama musim ini selepas menamatkan saingan di tangga kedua dan menjuarai MFL Challenge Cup.
Khabar angin mula bertiup kencang mengenai berita perpindahan bagi kedua-dua pasukan dengan ketua jurulatih Harimau Selatan, Hector Bidoglio bakal meninggalkan pasukan.
Seramai 10 orang pemain JDT juga dilaporkan bakal membawa haluan baharu dengan pemain seperti Jordi Amat, Jese Rodriguez, Anselmo Moraes, Jalil Elias, Murilo Henrique dan ramai lagi.
The Red Giants juga memilih untuk membawa muka baharu musim hadapan selepas empat pemain dikhabarkan akan meninggalkan pasukan selepas berakhirnya musim 2024/25.
Wartawan The Star iaitu T. Avineshwaran mengesahkan bahawa empat pemain import Selangor tidak akan kekal bersama Merah Kuning musim hadapan iaitu tonggak Singapura, Safuwan Baharuddin, pemain tengah Venezuela, Yohandry Orozco, penyerang Jordan, Ali Olwan, dan pemain tengah Croatia, Nikola Jambor.
Kedua-dua pasukan ini bakal menjadi wakil Malaysia selepas JDT dan Selangor masing-masing mengekalkan tempat dalam saingan ACLE dan ACL2.