JDT Umum Ketibaan Nacho Mendez
MakanBola
Johor Southern Tigers

Bekas kapten Sporting Gijon, Nacho Mendez sah melengkapkan perpindahan ke Johor Darul Ta’zim (JDT).

Perpindahan pemain tengah berusia 27 tahun itu diumumkan pengurusan Harimau Selatan menerusi satu video di Johor Southern Tigers.

“Nacho Mendez menjadikan Johor sebagai destinasi pertamanya selepas menghabiskan karier di Sepanyol!” kata kelab dalam satu kenyataan.

Pengumuman ini menyaksikan Mendez menjadi pemain JDT terbaru selepas Ibrahim Manusi, Antonio Glauder, Joao Figueiredo, Hector Hevel, Jon Irazabal, Jonathan Silva dan Jairo da Silva.

Sebelum menyertai JDT, beliau merekodkan 218 penampilan, 17 gol dan 11 bantuan gol bersama Gijon. Mendez kemudiannya meninggalkan kelab LaLiga2 itu apabila kontraknya tamat pada 30 Jun lalu.

Perpindahan ini mengesahkan khabar angin media Sepanyol bahawa Mendez akan menyertai JDT sebagai ejen bebas.

Namanya turut menjadi bualan peminat bola sepak Malaysia sejak beberapa hari lalu. Ini kerana Mendez dilaporkan dalam proses akhir mendapatkan kerakyatan Malaysia.

Sekiranya semua proses berjalan lancar, khidmatnya berpotensi dipanggil Peter Cklamovski untuk kempen CAFA Nations Cup pada penghujung Ogos ini.