JDT terus mengukuhkan cengkaman di kedudukan teratas kempen Liga Super 2023 setelah cemerlang mengatasi KL City dengan keputusan 6-1.
Rentak kemenangan tanpa seri dan tewas diteruskan JDT di Stadium Sultan Ibrahim untuk aksi ke-15 saingan Liga Super hari ini.
Empat jaringan Harimau Selatan menerusi hatrik penyerang import JDT, Diogo Luis Santo dan pemain sayap berbakat, Arif Aiman Hanapi cukup untuk mematahkan semangat KL City pada babak separuh masa pertama permainan.
Bersambung babak separuh masa kedua pula, JDT dikejutkan dengan jaringan daripada pasukan pelawat. Kuisan cantik pertahanan import KL City, Matko Zirdum gagal diselamatkan penjaga gol JDT, Syihan Hazmi sekaligus mencatat satu-satunya jaringan buat The City Boys malam ini.
Skuad kendalian Esteban Solari bagaimanapun masih sempat mengaum pada sepuluh minit terakhir permainan. Dua pemain gantian iaitu Safiq Rahim dan Akhyar Rashid masing-masing memberi impak segera buat JDT, menjinakkan benteng pertahanan KL City dengan jaringan.
JDT mencatat kemenangan bergaya menewaskan KL City, 6-1.
Selepas ini, JDT bakal melayan kunjungan pasukan Negeri Sembilan pada Sabtu, 8 Julai di Stadium Sultan Ibrahim sementara KL City pula akan berdepan Terengganu di Stadium Cheras pada Jumaat, 7 Julai 2023.
JDT kini meraih sebanyak 45 mata selepas mencatat 100% kemenangan dalam kempen Liga Super musim ini. 60 gol yang telah dijaringkan JDT memastikan gergasi dari Selatan itu terus kukuh menghuni kedudukan pertama Liga Super 2023.