Jeneral tengah Vietnam, Doan Ngoc Tan berpotensi terlepas aksi menentang Harimau Malaya pada 10 Jun ini.
Ngoc Tan sentiasa menjadi pilihan jurulatih Korea Selatan, Kim Sang-sik dalam kesebelasan utama sejak dilantik sebagai jurulatih Vietnam pada 2024.
Pengalaman pemain berusia 34 tahun itu membantu Pahlawan Bintang Emas muncul juara ASEAN Championship 2024.
Walau bagaimanapun, kelibat terbaru beliau ketika aksi V. League 1 antara kelabnya, Dong A Thanh Hoa dan Hanoi FC pada 6 April lalu mencuri perhatian penyokong Vietnam.
Kaki Ngoc Tan dilihat bersimen tatkala beliau menonton perlawanan di bangku penyokong. TheThao247 melaporkan beliau mengalami kecederaan patah tulang tibia.
Kecederaan serius itu menyebabkan Ngoc Tan perlu berehat panjang selama beberapa bulan. Ini bukan saja menyebabkan beliau melupakan kempen V. League 1 musim 2024/25.
Malah, bekas pemain tengah Hai Phong itu berpotensi tidak sempat pulih menjelang aksi kelayakan kedua Piala Asia 2027 pada Jun ini.
Situasi ini dijangka memaksa Sang-sik perlu merangka pelan alternatif apabila berdepan Malaysia. Jurulatih Korea Selatan itu boleh menghela nafas lega kerana Nguyen Xuan Son mula menjalani latihan ringan baru-baru ini.
Sang-sik mengharapkan penyerang berdarah Brazil itu sempat cergas sebelum aksi kedua Kumpulan F pada 10 Jun.