Advertisement
Jeonbuk Hyundai Asah Taring Vietnam
Asia Tenggara
MakanBola
VFF/JHM

Vietnam bakal diuji pasukan K-League 1, Jeonbuk Hyundai Motors dalam satu aksi persahabatan yang akan diadakan pada 1 Disember ini.

Pengumuman aksi tersebut diumumkan oleh Persekutuan Bola Sepak Vietnam (VFF) menerusi satu kenyataan di platform media sosial rasmi mereka.

Aksi persahabatan ini merupakan sebahagian daripada kem latihan yang diatur Pahlawan Bintang Emas sebelum saingan ASEAN Championship 2024 bermula.

Jeonbuk bukan asing buat jurulatih Vietnam, Kim Sang-sik. Ini kerana beliau pernah membimbing pasukan itu dari 2020 hingga 2023.

Meskipun kelab itu sibuk menghadapi beberapa perlawanan penting, pengurusan Jeonbuk sedia membantu Pahlawan Bintang Emas dengan menurunkan skuad terbaik.

Selepas tamat kempen K-League 1 2024, pasukan yang dibimbing Kim Do-heon itu bakal menentang Seoul E-Land untuk aksi playoff penyingkiran pada 1 dan 8 Disember ini.

Seandainya Jeonbuk tewas dalam aksi berkenaan, maka pasukan itu bakal beraksi dalam K-League 2 buat kali pertama dalam sejarah mereka.

Selain pusingan playoff penyingkiran K-League 1, Jeonbuk juga perlu mengharungi baki dua perlawanan Kumpulan F Liga Juara-Juara AFC 2 (ACL2). Pasukan itu akan berdepan Dynamic Herb Cebu pada 28 November dan Muangthong United (5 Disember).

Jeonbuk bukan satu-satunya pasukan yang bakal dihadapi Vietnam sepanjang menjalani latihan di Korea Selatan. Pahlawan Bintang Emas juga akan menentang kelab K3 League, Ulsan Citizen pada 27 November dan kelab K-League 1, Daegu pada 29 November.