Bekas pengurus Sunderland, Gus Poyet sah dilantik sebagai jurulatih baru Jeonbuk Hyundai Motors.
Pelantikan tersebut diumumkan kelab K-League 1 itu di platform media sosial rasmi mereka. Ini tugas pertama jurulatih Uruguay itu sejak meninggalkan Greece pada Mac 2024.
Sebelum ini, Jeonbuk memilih melepaskan jurulatih Korea Selatan, Kim Do-heon meskipun beliau membantu pasukan itu kekal dalam saingan K-League 1.
Selepas Do-heon dilepaskan, beberapa jurulatih dikaitkan dengan kelab tersebut termasuk jurulatih Gwangju FC, Lee Jung-hyo.
Walau bagaimanapun, khabar angin tersebut dinafikan pengurusan Jeonbuk di mana mereka mencari calon jurulatih dari luar negara. Ini membawa kepada pelantikan Poyet sebagai jurulatih baru Jeonbuk.
Sebaik pelantikannya diumumkan, legenda Tottenham Hotspur itu berjanji akan membantu Jeonbuk kembali mengecapi kegemilangan seperti dahulu.
“Sebagai jurulatih, pentas K-League dan Asia ialah satu cabaran baru. Saya akan bekerjasama dengan pemain-pemain dan penyokong untuk menjadikan cabaran ini satu kejayaan,” katanya.
K-League United melaporkan Poyet bakal disertai staf kejurulatihannya di Jeonbuk. Antara figura yang akan menyusul beliau ialah penolong jurulatih, Mauricio Taricco, jurulatih kecergasan, Panagiotis Voulgaris dan penganalisis Diego Poyet.
Poyet juga bakal dibantu dua jurulatih Korea Selatan, Jung Jo-gook dan Hwang Hee-hoon. Kedua-duanya berperanan membantu bekas pengurus AEK Athens itu dari segi komunikasi antara staf kejurulatihan.
Jurulatih berusia 57 tahun itu bakal tiba di Korea Selatan pada hujung minggu ini untuk meninjau pusat latihan dan sidang media.
Poyet dijangka sibuk kerana Jeonbuk bakal mengadakan latihan pra-musim di Thailand bermula pada 2 Januari 2025.
Selain Sunderland, Greece dan AEK Athens, beliau juga pernah melatih Real Zaragoza, Brighton, Shanghai Shenhua, Bordeaux dan Universidad Catolica.