Jepun bakal mengharapkan kudrat pemain-pemain yang berpangkalan di Eropah untuk dua aksi kelayakan Piala Dunia 2026 untuk November ini.
Ini selepas Persatuan Bola Sepak Jepun (JFA) mengumumkan senarai 26 pemain yang dipanggil jurulatih Samurai Biru, Hajime Moriyasu.
Daripada 26 pemain yang dipanggil, 22 pemain beraksi untuk kelab-kelab Eropah. Manakala empat lagi beraksi dalam saingan J1 League termasuk pemain baru, Kota Takai (Kawasaki Frontale).
Antara nama yang terus mendapat kepercayaan Moriyasu ialah Takumi Minamino (AS Monaco), Kaoru Mitoma (Brighton), Daichi Kamada (Crystal Palace), Ritsu Doan (SC Freiburg) dan Yukinari Segiwara (Southampton).
Bekas pemain pertahanan Inter Milan, Yuto Nagatomo menjadi pemain paling berpengalaman yang dipanggil Moriyasu. Meskipun usianya kini mencecah 38 tahun, pengalamannya terus ditagih Jepun di peringkat antarabangsa.
Selain Nagatomo, Moriyasu turut memanggil Wataru Endo (Liverpool), Shogo Taniguchi (Sint-Truiden), Junya Ito (Reims) untuk menyuntik pengalaman dalam pasukan Samurai Biru.
Jepun bakal berdepan Indonesia untuk aksi kelima Kumpulan C di Gelora Bung Karno pada 15 November. Ini disusuli aksi menentang China yang berlangsung pada 19 November ini.