Jepun mempamerkan aksi garang untuk membelasah Australia dalam perlawanan kedua kumpulan B Piala Asia Bawah 17 Tahun Wanita di Bali.
Perlawanan yang berlangsung di Stadium Kapten I Wayan Dipta menyaksikan Jepun berada di kelas tersendiri apabila membuka tirai jaringan menerusi Momo Sato seawal minit ketiga permainan.
Belum sempat Australia bangkit, Momo Sato sekali lagi meledak jaringan kedua tujuh minit berselang untuk memastikan Jepun selesa mendahului pada dalam tempoh 10 minit pertama.
Asakan demi asakan dilancarkan namun separuh masa pertama kekal berakhir dengan keputusan Australia 0-2 Jepun.
Bersambung babak kedua, Jepun yang dibimbing oleh Sadayoshi Shirai terus mendominasi permainan dengan penguasaan bola dan beberapa percubaan yang berupaya mengancam pintu gol Australia.
Jentera serangan Jepun terus berbisa dengan gol ketiga pasukan hasil penyudah Mihari Shinjo yang berjaya melepasi kawalan penjaga gol Australia sebelum mudah menolak bola ke gawang gol pada minit ke-66.
Ketika permainan berbaki sembilan minit untuk dimainkan, Jepun terus menambah duka lawan dengan gol keempat permainan menerusi Hina Hirakawa sekaligus menyukarkan perjalanan Australia untuk meraih mata.
Walaupun Australia berjaya mendapatkan gol saguhati pada penghujung permainan menerusi Indiana Dos Santos, jaringan tersebut tidak berupaya menghalang kemenangan bergaya juara bertahan itu.
Aksi tamat, Australia 1-4 Jepun.
Kemenangan besar Jepun ini mengesahkan kemaraan negara Matahari Terbit ini ke peringkat separuh akhir setelah mencatatkan dua kemenangan dalam dua aksi awal kumpulan.
Perlawanan terakhir kumpulan B menyaksikan pertemuan Jepun dan China pada Isnin bagi menentukan juara serta naib juara kumpulan manakala Australia bakal berdepan Thailand.