Jepun meneruskan prestasi cemerlang setelah berjaya menewaskan Arab Saudi 2-0 dalam aksi pusingan ketiga kelayakan Piala Dunia 2026.
Kedua-dua pasukan masih belum tewas sebelum ini dalam saingan kumpulan C dimana Jepun telah meraih dua kemenangan manakala Arab Saudi mencatat 1 kemenangan dan 1 keputusan seri.
Roberto Mancini mempertaruhkan formasi 4-3-3 dengan meletakkan gandingan trio serangan Firas Al-Buraikan, Salim Al-Dawsari dan Ayman Yahya.
Hajime Moriyasu pula membariskan kesebelasan terbaik untuk menggempur pasukan Arab Saudi seperti Wataru Endo, Takumi Minamino, Daichi Kamada dan Kaoru Mitoma.
Daichi Kamada mencetak gol pertama buat Jepun seawal minit ke-14 setelah berjaya menyempurnakan bola hantaran Hidemasa Morita.
Arab Saudi cuba mencari gol penyamaan menerusi beberapa percubaan namun gagal menerjah gawang gol Jepun sehingga tamat aksi separuh masa pertama.
Bersambung babak kedua, kedua-dua pasukan saling memberikan tekanan kepada lawan dalam usaha mendapatkan gol.
Arab Saudi bagaimanapun tersentak apabila Jepun menambah gol kedua pada minit ke-81 hasil jaringan pemain gantian Koki Ogawa.
Keputusan 2-0 kekal hingga tamat perlawanan sekaligus menyaksikan Jepun meraih tiga mata berharga setelah menewaskan Arab Saudi di laman sendiri.
Jepun kini kekal di tangga pertama kumpulan C dengan mengumpul 9 mata dalam 3 perlawanan manakala Arab Saudi di tangga ketiga berkongsi 4 mata bersama-sama Australia dan juga Bahrain.
Anak buah Hajime Moriyasu seterusnya akan melawan cabaran Australia pada 15 Oktober ini manakala Arab Saudi akan menentang Bahrain pada 16 Oktober kelak.