Pasukan bola sepak wanita Jepun dan Korea Utara menaikkan nama Asia apabila layak ke pentas final Piala Dunia Wanita Bawah 20 Tahun (B-20) 2024.
Kedua-dua pasukan mara ke final selepas mengatasi cabaran lawan masing-masing di peringkat separuh akhir. Korea Utara menyingkirkan Amerika Syarikat menerusi jaringan tunggal Choe Il-son.
Manakala dua gol pemain tengah menyerang North Carolina Courage, Manaka Matsukubo membantu Jepun menundukkan Belanda dalam satu lagi aksi separuh akhir.
Ini kali pertama dua wakil Asia berjaya mara ke pentas final dalam sejarah Piala Dunia Wanita B-20. Ini juga kali ketiga berturut-turut Jepun mara ke final selepas edisi 2018 dan 2022.
Kedua-dua pasukan sudah merasa nikmat bergelar juara Piala Dunia B-20. Skuad Korea Utara sudah mengecapinya sebanyak dua kali dalam edisi 2006 dan 2016.
Sementara Jepun pula muncul juara edisi 2018. Walau bagaimanapun, usaha mereka bergelar juara buat kali kedua di Costa Rica pada 2022 digagalkan Sepanyol di pentas final.
Pentas final juga dilihat peluang buat Il-son dan Maya Hijikata menamatkan kejohanan sebagai pemenang Kasut Emas. Ketika ini, kedua-dua penyerang berkongsi kedudukan teratas carta gol dengan lima gol.
Jepun dan Korea Utara bakal berentap di Stadium El Campin, Bogota pada 22 September untuk menentukan siapa bakal bergelar juara.