Jepun Layak Ke Piala Dunia, Tewaskan Bahrain
MakanBola
AFC
Sponsors

Jepun mengesahkan kemaraan ke Piala Dunia 2026 apabila menewaskan Bahrain di Saitama.

Samurai Biru mampu layak dengan syarat mereka menewaskan Al-Ahmar di Saitama. Bahrain pula berharap dapat mengelak kekalahan besar kepada lawan sama pada September 2024.

Ad

Takefusa Kubo, Takumi Minamino dan Ayase Ueda menjadi sandaran gol Jepun. Mohamed Marhoon menjadi nadi kreativiti Bahrain.

Mahdi Abduljabbar hampir meletakkan pelawat di hadapan seawal minit keenam. Malangnya, percubaan penyerang Al-Khaldiya itu tersasar.

Ad

Jepun menyangka telah membuka tirai jaringan menerusi pemain tengah Liverpool, Wataru Endo. Walau bagaimanapun, gol tersebut dibatalkan VAR kerana bola terkena tangan Ayase Ueda.

Ad

Tuan rumah makin cemas apabila Kamil Al-Aswad membuat percubaan deras pada minit ke-30. Jepun bernasib baik kerana percubaan pemain tengah Al-Arabi itu melepasi palang.

Ad

Kedua-dua pasukan terus berusaha mencari gol pembukaan tetapi keputusan 0-0 kekal sehingga rehat.

Bersambung selepas rehat, pengendali Samurai Biru, Hajime Moriyasu memasukkan Ao Tanaka untuk menyuntik lebih kreativiti dalam serangan mereka.

Malangnya, barisan pertahanan Al-Ahmar diketuai bek tengah Al-Muharraq, Amine Benaddi terus menghampakan jentera serangan Jepun.

Penyokong Jepun ceria apabila pemain sayap Crystal Palace, Daichi Kamada meletakkan pasukan itu di hadapan pada minit ke-66.

Tersentak, Bahrain kembali mengasak. Anak buah Dragan Talajic hampir meraih gol penyamaan menerusi Mahdi Al Humaidan tetapi percubaannya dinafikan Zion Suzuki.

Kubo memastikan kelebihan Jepun sukar dicabar menerusi gol pada minit ke-87. Al-Ahmar terus berusaha merapatkan jurang jaringan tetapi keputusan 2-0 kekal sehingga tamat perlawanan.

Keputusan ini menyaksikan Jepun menjadi pasukan Asia pertama layak ke Piala Dunia 2026 dengan baki tiga perlawanan. Samurai Biru gah di puncak Kumpulan C dengan 19 mata.

Bahrain pula kekal di tangga keempat dengan enam mata. Anak buah Talajic perlu menang baki semua aksi jika mahu mengiringi Jepun sebagai naib juara kumpulan.

Impak Kubo diiktiraf Sofascore dengan markah 8.4. Beliau meninggalkan Kamada yang meraih 8.2 mata.

Selepas ini, Jepun akan melayan kunjungan Arab Saudi pada 25 Mac. Bahrain pula akan bertandang ke Indonesia untuk aksi timbal balik di Gelora Bung Karno pada hari yang sama.

Subscribe
Notify of
0 Comments
Oldest
Newest Most Voted
Inline Feedbacks
View all comments