Jepun mahu mengekalkan khidmat pemain serangan Junya Ito walaupun pemain tersebut berdepan dakwaan melakukan gangguan seksual.
Persatuan Bola Sepak Jepun (JFA) sebelum ini mengambil keputusan untuk menggugurkan nama Junya Ito daripada saingan Piala Asia 2023 dengan serta merta setelah terlibat dengan kes gangguan seksual.
Dua orang perempuan melaporkan perbuatan Junya Ito pada tahun lalu namun pihak peguam Junya Ito menidakkan tuduhan itu dan telah memfailkan aduan atas tuduhan palsu.
Kini Masakuni Yamamoto, pengarah pasukan kebangsaan Jepun mengumumkan pasukan Jepun mahu terus mengekalkan khidmat pemain tersebut di Qatar lebih-lebih lagi Jepun bakal bertemu Iran untuk aksi suku akhir Piala Asia 2023.
Namun masih terdapat kemungkinan Junya Ito bakal digugurkan dari skuad Jepun dan perbincangan mengenai status pemain tersebut bakal diketahui dalam masa terdekat setelah mesyuarat diadakan.
Tindakan JFA sebelum ini menggugurkan nama Junya Ito adalah sebagai langkah berhati-hati dan turut mempertimbangkan keadaan mental dan fizikal Junya Ito setelah dikaitkan dengan dakwaan berat tersebut.
Junya Ito beraksi dalam ketiga-tiga perlawanan peringkat kumpulan Piala Asia 2023 berdepan Vietnam, Iraq dan Indonesia namun pemain tersebut memanaskan bangku simpanan sewaktu pusingan 16 bertemu Bahrain.
Pemain sayap kanan Samurai Biru ini telah melakukan 54 penampilan bersama pasukan kebangsaan dan telah merekodkan 13 jaringan serta 17 bantuan gol setakat ini.