Advertisement
Jepun Malukan Vietnam 10-0
UltraSukan
UltraSukan
AFC Asian Cup

Skuad bola sepak wanita Jepun Bawah 20 Tahun (B-20) mempamerkan dominasi mereka apabila membelasah Vietnam 10-0 hari ini.

Kejayaan itu dicapai dalam aksi pertama Kumpulan B Piala Asia Wanita B-20 yang berlangsung di Stadium JAR, Tashkent, Uzbekistan.

Dengan Jepun berstatus pasukan pilihan, Vietnam selaku pasukan bukan pilihan berusaha memastikan gawang mereka tidak bocor awal.

Malangnya, hajat mereka lebur apabila Manaka Matsukubo membuka tirai jaringan pada minit ke-11.

Matsukubo terus menjadi duri dalam daging kepada barisan pertahanan Vietnam dengan menyumbat dua gol lagi pada minit ke-31 dan 44. Keputusan 3-0 kekal sehingga rehat.

Bersambung pada babak kedua, Jepun semakin ghairah memburu gol tambahan. Maya Hijikata menyumbat dua gol pada minit ke-56 dan 64.

Ini disusuli Ai Tsujisawa, Rio Sasaki dan Chinari Sasai masing-masing menyumbat gol pada minit ke-66, 70 dan 73.

Hiromi Yoneda dan Yurie Shirasawa melengkapkan kecemerlangan Jepun dengan masing-masing menyumbat gol pada minit ke-83 dan 84.

Keputusan ini memastikan Jepun mendahului Kumpulan B dengan tiga mata dan kelebihan jaringan besar berbanding China dan Korea Utara.

Kedua-dua pasukan hanya mengutip satu mata selepas terikat 1-1 dalam aksi awal Kumpulan B.