Jepun mengalami tamparan hebat menjelang dua aksi kelayakan Piala Dunia 2026 dalam Kumpulan C.
Ini selepas portal Soccer King melaporkan Shogo Taniguchi mengalami kecederaan tendon Achilles dalam aksi terbaru Belgian Pro League (BPL) antara Sint-Truiden dan KV Mechelen.
Taniguchi hanya sempat beraksi selama 14 minit sebelum dikeluarkan akibat kecederaan tersebut. Susulan itu, Zineddine Belaid masuk menggantikan tempat bek tengah berusia 33 tahun itu.
Truiden meraih kemenangan 2-1 dalam perlawanan itu. Dan pengurus pasukan, Felice Mazzu memaklumkan seluruh pasukan mendedikasikan kemenangan itu kepada Taniguchi.
“Kejayaan ini didedikasikan kepada Shogo Taniguchi yang ditimpa malang dan mengalami kecederaan serius. Diagnosis awal menunjukkan beliau mengalami kecederaan tendon Achilles,” katanya.
Pendedahan ini bermaksud Taniguchi bukan saja terpaksa melupakan dua aksi kelayakan Piala Dunia 2026. Malah, ini bermakna bekas bek tengah Al-Rayyan itu tidak dapat beraksi untuk beberapa perlawanan saingan BPL.
Situasi ini dijangka memaksa Hajime Moriyasu memanggil pemain lain sebagai alternatif untuk mengisi kekosongan yang ditinggalkan Taniguchi. Antara alternatif Moriyasu ialah Tsuyoshi Watanabe (KAA Gent) dan Haruya Fujii (KV Kortrijk).
Jepun bakal berdepan Indonesia di Gelora Bung Karno pada 15 November. Ini disusuli aksi menentang China di Xiamen pada 19 November.