Jaguh Asia, Jepun mengumumkan para pemain bagi menghadapi tentangan Korea Utara dalam aksi kumpulan Kelayakan Piala Dunia 2026 / Piala Asia 2027.
Skuad Samurai Biru membuat pengumuman barisan 26 pemain menerusi hantaran di laman Instagram rasmi Persatuan Bola Sepak Jepun (JFA).
Tidak banyak perubahan dalam senarai nama pemain yang dipanggil oleh jurulatih Jepun, Hajime Moriyasu dengan nama-nama seperti Wataru Endo, Takefuso Kubo dan Daizen Maeda masih kekal membawa cabaran pasukan.
Namun, juara Asia 2015 ini bakal terlepas khidmat bintang Brighton and Hove Albion, Kaoru Mitoma yang difahamkan masih mengalami kecederaan.
Selain itu, pertahanan Arsenal, Takehiro Tomiyasu turut tidak dipanggil selain dua pemain Celtic, Reo Hatate dan Kyogo Furuhashi.
Satu nama yang menjadi perhatian peminat adalah bekas pemain Inter Milan, Yuto Nagatomo yang kembali disenaraikan selepas kali terakhir mewakili Jepun ketika kempen Piala Dunia 2022.
Jepun dan Korea Utara akan bertembung dalam dua aksi kumpulan Kelayakan Piala Dunia 2026 dengan aksi pertama di Tokyo pada 21 Mac dan aksi kedua berlangsung di Pyongyang pada 26 Mac.
Jepun kini memimpin carta kumpulan B dengan enam mata hasil dua kemenangan lalu manakala Korea Utara pula ketinggalan tiga mata di belakang selepas mencatatkan satu kemenangan dan satu kekalahan.