Jersi Baru Kedah Terima Pujian Penyokong
MakanBola
Kedah Darul Aman FC

Kedah Darul Aman FC (KDA FC) akhirnya memperkenalkan jersi baru mereka untuk musim 2024/25.

Pengenalan jersi baru ini dibuat menerusi satu hantaran video yang disiarkan di platform rasmi pasukan hari ini.

Jersi baru keluaran ALX ini dilihat lebih menonjol berbanding jersi-jersi sebelumnya. Jersi home mengekalkan kombinasi warna tradisi hijau dan kuning.

Ad

Sementara jersi away pula menggunakan warna hijau gelap dengan sedikit campuran warna oren. Rekaan jersi ini juga istimewa kerana ALX memasukkan slogan ‘Hijau Kuning Lambang Kebanggaan’ pada bahagian dalam jersi berkenaan.

Ad

Kedua-dua jersi menampilkan beberapa entiti korporat yang menjadi rakan komersial dan strategik pasukan untuk musim 2024/25.

Ini termasuklah Electrica dan BerryPay yang diumumkan sebagai penaja bahagian lengan jersi baru Kedah untuk musim 2024/25 baru-baru ini.

Ad
Ad

Sementara itu, kit penjaga gol Sang Kenari turut mencuri perhatian. Kit penjaga gol Kedah hadir dengan tiga warna iaitu hitam, biru dan ungu dengan setiap kit menampilkan corak berbeza.

Ad

Pemilik saham majoriti Kedah, Tan Sri Dr. Daud Bakar menyifatkan jersi baru untuk home dan away ini istimewa. Beliau berharap ini dapat merangsang semangat Kedah untuk cemerlang di dalam dan luar padang.

“Alhamdulillah, setelah lama menunggu (dan berjuang dengan air mata dan jerih lelah), jersi pertama dan kedua Sang Kenari sudah siap. Kami semua menghargai kesabaran anda semua terutamanya pemain dan pasukan kejurulatihan.

“Kami mengharapkan jersi musim ini cantik, elegan dan memberi rasa kecintaan dan kebanggaan kepada pasukan kita terutamanya kepada negeri kesayangan kita Kedah Darul Aman,” katanya dalam satu kenyataan.

Sejak jersi berkenaan dilancarkan, ramai penyokong Sang Kenari memuji jersi tersebut sebagai unik dan menarik. Malah, ada yang percaya reka bentuk jersi yang diperkenalkan ALX ini bakal menambat hati peminat dari luar Kedah.

Jersi ini dijangka digunakan buat kali pertama untuk aksi terbaru Liga Super menentang Kuching City FC pada 26 Julai ini.

Aksi ini dilihat medan terbaik untuk memperagakan jersi baru Sang Kenari di hadapan penyokong setia di Stadium Darul Aman.