Jese Rodriguez membuka akaun golnya bersama Johor Darul Ta’zim FC (JDT FC) dalam aksi menentang Balestier Khalsa.
Aksi persahabatan antarabangsa antara JDT dan Balestier Khalsa diadakan di Stadium Sultan Ibrahim (SSI) pada 14 Oktober lalu. Aksi ini dilihat peluang buat kedua-dua pasukan mengekalkan kecergasan pemain yang tidak menyertai skuad kebangsaan di peringkat antarabangsa.
Dominasi Harimau Selatan selaku pendahulu Liga Super musim 2024/25 sukar digugat Balestier dengan tiga gol pada separuh masa pertama. Bergson dan Oscar Arribas mencetak nama sebagai penjaring.
Separuh masa kedua menyaksikan Bergson mencipta hatrik dan Heberty Fernandes menyumbat dua gol. Manakala Gabriel Nistelrooy dan Rodriguez masing-masing menyumbang satu gol bagi menjadikan kemenangan 8-0.
Gol Rodriguez cukup istimewa kerana ini bukan saja gol pertamanya bersama Harimau Selatan. Ini juga gol pertamanya untuk tahun 2024 selepas kali terakhir melakukannya pada 26 November 2023.
Tarikh tersebut menyaksikan bekas bintang Real Madrid itu meledakkan satu-satunya gol bersama kelabya ketika itu, Coritiba semasa menentang Fluminense. Perlawanan tersebut berakhir dengan kekalahan 2-1 kepada Coritiba.
Dengan Rodriguez sudah membuka akaun golnya, ramai penyokong JDT tidak sabar melihat beliau mewarnai cabaran pasukan itu musim ini.
Kemenangan besar 8-0 ke atas Hala Tigers juga dijangka mendorong JDT untuk meneruskan momentum kemenangan dalam liga.
Pasukan itu akan beraksi pada 27 Oktober ini di mana mereka akan menentang Selangor FC di SSI. Perlawanan ini dijangka panas dengan Merah Kuning mahu membalas dendam selepas dibelasah 6-1 di pentas final Piala FA 2024.