Kapten Perak FC, Luciano Guaycochea mengakui ketumpulan jentera serangan pasukan itu menyukarkan mereka mengejar Johor Darul Ta’zim FC (JDT FC) semalam.
Aksi separuh akhir pertama Piala Malaysia menyaksikan Harimau Selatan meraih kemenangan selesa 4-1. Satu-satunya gol Perak dijaringkan oleh Guaycochea.
The Bos Gaurus dilihat mempunyai peluang hampir sama dengan JDT. Daripada 14 percubaan mereka semalam, tujuh menepati sasaran termasuk gol pemain berusia 31 tahun itu.
Begitupun, Guaycochea melihat penyudah berkualiti menjadi pemisah antara Perak dan JDT dalam perlawanan semalam.
“Kita ada beberapa peluang menjaringkan gol pada babak pertama. Tapi ini bola sepak, jika kita tak menjaringkan gol, kita akan dihukum. Kita sudah lakukan yang termampu.
“Seperti yang saya katakan, JDT ketika ini merupakan pasukan terbaik di Malaysia. Memang susah untuk menang menentang mereka tapi pemain kita telah beri yang terbaik,” katanya selepas perlawanan semalam.
Perak berdepan tugas sukar untuk mara ke final Piala Malaysia. Ini kerana mereka perlu mengalahkan JDT dengan lebih daripada tiga gol di Stadium Sultan Ibrahim pada 2 November ini.
Dengan Harimau Selatan beraksi di gelanggang sendiri, mereka pastinya mahu mempertahankan kelebihan agregat 4-1 itu daripada dirobek pelawat.