Pemain pertahanan kebangsaan, Jimmy Raymond menghargai nasihat Joseph Kalang Tie apabila menerima panggilan menyertai skuad Harimau Malaya.
Jimmy, 28, mengikut jejak Shamie Iszuan dan Joseph Kalang Tie sebagai pemain Sarawak terbaru mewakili Harimau Malaya.
Kali terakhir Shamie mewakili Sarawak ialah aksi separuh akhir ASEAN Championship 2022 menentang Thailand pada 7 Januari 2023. Perlawanan itu berkesudahan dengan kemenangan 1-0 buat Harimau Malaya.
Jimmy mengakui apabila namanya tersenarai dalam skuad negara yang bersaing dalam ASEAN Championship 2024, beliau melihat itu sebagai satu kebanggaan.
Ini kerana Jimmy menjadi pemain Sarawak terbaru menyarung jersi Harimau Malaya. Atas sebab itu, beliau berusaha memberi persembahan terbaik buat pasukan itu.
Ini termasuk memanfaatkan pengalaman dan nasihat yang dikongsikan Joseph kepada beliau. Kedua-duanya bukan asing kerana pernah beraksi bersama untuk Kuching City FC.
“Dia (Joseph) selalu cakap dengan saya, bagi nasihat agar sentiasa bekerja keras, sentiasa fokus dan jaga apa yang kita lakukan. Dan beri yang terbaik kepada diri sendiri,” katanya seperti yang dilaporkan Astro Arena.
Sejak dipanggil menyertai pasukan itu, Jimmy sudah merekodkan dua penampilan bersama Harimau Malaya untuk saingan ASEAN Championship 2024.
Kudratnya dijangka ditagih pengendali Harimau Malaya, Pau Marti Vicente untuk aksi terakhir Kumpulan A menentang Singapura pada 20 Disember ini.