Bintang Portugal, Joao Tomas dan Ricardo Quaresma jadi watak penting dalam kemenangan pasukan All Star Kedah ketika menumpaskan All Star Malaysia pada Sabtu.
Aksi persahabatan ini adalah anjuran bersama Sang Kenari dan Malaysia Museum Football yang menampilkan barisan bekas pemain negara dan Kedah yang cukup dikenali satu ketika dahulu.
Antara nama bekas pemain yang turut serta pada aksi kali ini adalah Nafuzi Zain, Helmi Eliza dan juga Khairul Helmi yang mewakili Kedah tatkala Amri Yahya serta Faiz Subri bersama All Star Malaysia.
Selain itu, perlawanan ini turut diserikan dengan kehadiran dua bekas bintang Portugal, Ricardo Quaresma serta Joao Tomas yang hadir menyarung jersi pasukan All Star Kedah buat kali pertama.
Jaringan pertama berjaya dihasilkan oleh Joao Tomas yang berjaya menyambar hantaran lintang dari rakan sepasukan untuk menceriakan penyokong Kedah yang hadir ke stadium.
Selang beberapa minit kemudian, Joao Tomas sekali lagi melakar nama selaku penjaring dengan gol kedua Kedah hasil umpanan berkualiti tinggi daripada Ricardo Quaresma.
Gawang All Star Malaysia terus dibolosi dengan jaringan ke-3 menerusi percubaan Ricardo Quaresma sebelum berakhirnya babak pertama dan meletakkan Kedah selesa di depan 3-0.
Bersambung babak kedua, pasukan All Star Malaysia berjaya merapatkan kedudukan dengan jaringan pertama setelah A. Jayakanthan tampil tenang menyudahkan tendangan penalti.
Tonggak tengah Kedah, Khairul Ismail melebarkan kelebihan buat pasukan Sang Kenari apabila berjaya menjaringkan gol ke-4 ketika aksi memasuki pertengahan separuh masa yang kedua.
All Star Malaysia berusaha bangkit dan cemerlang mencetak dua lagi gol di lewat aksi menerusi Liew Kit Kong dan pemain tengah, Amar Rohidan namun itu tidak cukup untuk mengikat kedudukan.
Keputusan akhir, All Star Kedah ketika 4-3 All Star Malaysia.