Johan Ghazali Penuhi Impian Pesakit Kanser
UltraSukan
Johan Ghazali

Jaguh Muay Thai negara, Johan Ghazali memenuhi impian seorang pesakit kanser yang ingin bertemu dengannya.

Pertemuan Johan dengan Muhd Ariff Azman, 14, dikongsikan menerusi satu hantaran di Instagram pada 13 Februari lalu.

Muhd Ariff yang juga pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Sri Matang merupakan peminat tegar sukan Muay Thai. Dia juga mengagumi pencapaian Johan di pentas antarabangsa.

Atas sebab itu, ibu Muhd Ariff berharap impian kecil anaknya itu menjadi kenyataan. Dia kini menjalani rawatan kemoterapi di Hospital Umum Sarawak (HUS) selepas disahkan menghidap kanser otak.

Selepas hajat Muhd Ariff dikongsikan di media sosial, Johan merealisasikan pertemuan tersebut. Selain beramah mesra dengan dia dan ahli keluarganya, jaguh ONE Championship itu turut menyampaikan hadiah buat Muhd Ariff.

Johan menyifatkan ia satu penghormatan buat dirinya dapat bertemu dengan Muhd Ariff. Beliau juga menganggap kisah remaja itu seharusnya menjadi inspirasi kepada semua orang.

“Duduk dan bercakap dengan dia sebentar dan masa depan dia cukup cerah. Tak pernah sekali dia merungut atau meminta simpati.

“Kita semua boleh belajar sesuatu daripada Ariff kerana walau susah mana hidup dia sekalipun, dia sentiasa ada mentaliti positif, satu perkara yang saya kagumi,” katanya.

Johan turut mendoakan kesembuhan buat Muhd Ariff daripada penyakit kanser yang dihadapinya.