“Johan Ghazali & Ramadan Ondash Patut Bertarung Semula” – Chatri Sityodtong
UltraSukan
IG/JG/OFC

Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) ONE Championship, Chatri Sityodtong berpandangan Johan Ghazali dan Ramadan Ondash patut bertarung semula.

Sebelum ini, jaguh Muay Thai Malaysia itu memiliki hasrat untuk bertarung semula dengan Ramadan susulan kekalahan beliau dalam ONE: The Inner Circle 24 baru-baru ini.

Meskipun begitu, jaguh Lubnan itu menolak hasrat jaguh negara yang mesra disapa Jojo itu. Sebaliknya, Ramadan menyimpan hasrat menentang satu lagi jaguh Malaysia, Aliff Rakib jika beliau bertukar kategori dari strawweight kepada flyweight.

Kini, giliran Chatri menyuarakan pandangan berhubung prospek pertarungan semula antara dua jaguh muda hebat itu. Figura berusia 55 tahun itu melihat pertarungan semula antara Johan dan Ramadan patut dibuat.

“Secara peribadi, saya fikir Jojo menang. Tapi ia memang sengit. Jika Jojo lebih agresif dalam pusingan terakhir, juri mungkin akan beri kemenangan beliau.

“Tapi sejujurnya, ia memang sengit. Tanpa sebarang keraguan, perlawanan semula 100% (antara Jojo dan Ramadan) patut dibuat,” katanya seperti dikongsikan Muaythai Malaysia.

Chatri turut menegur tindakan Ramadan menjatuhkan pelindung mulutnya beberapa kali semasa bertarung. Chatri melihat tindakan itu tidak sepatutnya berlaku dan tidak adil kepada pihak lawan.