Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Selangor FC, Dr Johan Kamal Hamidon mendedahkan proses pemulihan Faisal Halim terus menunjukkan perkembangan positif.
Selepas menjadi mangsa kes simbahan asid pada Mei lalu, pemain sayap kebangsaan itu melalui proses pemulihan yang mencabar. Ini termasuk empat pembedahan yang perlu dilalui di sebuah hospital swasta di Lembah Klang.
Meskipun begitu, Faisal menunjukkan semangat juang yang tinggi untuk pulih demi beraksi di atas padang – satu perkara yang mengagumkan ramai pihak.
Atas sebab itu, Johan memaklumkan Faisal kini fokus menjalani sesi fisioterapi yang lebih intensif bagi membolehkan beliau menggerakkan tangan terutama tangan kirinya.
Ini kerana bahagian badan beliau yang paling terkesan akibat insiden berkenaan ialah tangan kirinya.
“Luka-lukanya semakin kering. Beliau sudah mula menjalani sesi fisio yang lebih intensif untuk membolehkan beliau menggerakkan tangan beliau.
“Buat masa ini, bahagian badan beliau yang paling terkesan ialah tangan kiri beliau. Jadi, buat masa ini, fokusnya (ialah) memberi pergerakan penuh kepada tangan kiri beliau. Kita akan fokus pada itu,” katanya dalam sidang media khas Majlis Penyerahan Kutipan Tabung Solidariti Bersama Selangor FC seperti yang dilaporkan Nadi Arena.
Tambah Johan lagi, dalam tempoh dua atau tiga minggu lagi, pemain sayap berusia 26 tahun itu akan menjalani latihan ringan di atas padang.
“Insya Allah, seperti yang saya kongsikan dalam dua, tiga minggu lagi, beliau akan buat joging atau bersenam di atas padang. Dari segi pemulihan yang sedang berjalan, alhamdulillah,” katanya.
Berita ini bakal menambah semangat Selangor menjelang aksi suku akhir kedua Piala FA 2024 menentang Kuching City FC pada 6 Julai ini.