Jurulatih berbasikal trek negara, John Beasley mahu menghasilkan lebih ramai jaguh baru Malaysia dalam acara sukan berkenaan.
Sejak diberi amanah mengendalikan skuad berbasikal trek kebangsaan pada Januari 2006, jurulatih Australia itu bertanggungjawab menggilap bakat jaguh berbasikal trek seperti Datuk Azizulhasni Awang, Shah Firdaus Sahrom dan Fatehah Mustafa.
Bimbingan Beasley membantu Azizulhasni merealisasikan potensinya sebagai antara jaguh berbasikal trek bertaraf antarabangsa. Antara pencapaian manis yang dilakar jaguh berusia 36 tahun itu ialah juara dunia acara keirin 2017 dan pemenang pingat emas Sukan Asia edisi 2010 dan 2018.
Pentas Olimpik turut menyaksikan Azizulhasni meraih pingat gangsa edisi 2016 di Rio de Janeiro, Brazil dan pingat perak edisi 2020 di Tokyo, Jepun.
Kini, fokus Beasley seterusnya ialah melahirkan lebih ramai bakat baru sekaligus meneruskan legasi yang dicipta anak jati Kuala Dungun, Terengganu itu.
Ini ditambah dengan pendedahan daripada wartawan Astro Arena, Zulhelmi Zainal Azam bahawa jurulatih Australia itu bakal menggalas peranan sebagai pengarah teknikal.
“Saya mahu mengetuai Malaysia ke kedudukan yang lebih bagus. Itu sasaran saya sejak saya menerima tawaran untuk melatih (skuad berbasikal trek) Malaysia. Kita semakin hampir tetapi kita belum lagi mencapainya,” katanya selepas final acara keirin pada 11 Ogos lalu.
Final acara keirin menyaksikan Shah Firdaus menduduki tempat keenam meskipun pada awalnya, beliau meraih tempat keempat. Ini selepas panel komisar mendapati beliau melakukan kesalahan perlumbaan dalam final acara berkenaan.