Johor Jewels melaungkan keazaman untuk merampas semula trofi Netball Super League (NSL) dengan mendapatkan pemenang Piala Dunia Bola Jaring dari New Zealand, Laura Langman.
Perpindahan pemain berusia 39 tahun itu diumumkan pengurusan Johor Jewels di semua platform rasmi mereka.
“Laura Langman, kapten juara dunia kini memperkuatkan Johor Jewels untuk NSL musim 2026,” kata pasukan itu dalam satu kenyataan.
“Kekuatan. Kestabilan. Konduktor permainan. Rasa cinta kepada permainan. Paling penting, keazaman untuk kecemerlangan.”
Langman hadir dengan reputasi yang cukup besar. Selain pernah bergelar juara dunia bersama New Zealand, beliau turut membantu pasukan itu meraih pingat emas Sukan Komanwel edisi 2006 dan 2010.
Langman bukan satu-satunya tonggak import yang direkrut Johor Jewels untuk kempen NSL 2026. Sebelum ini, mereka turut merekrut pemain bola jaring Australia, Gretel Bueta.
Bueta menyertai pasukan itu pada Oktober 2025. Jaguh Australia itu memilih Johor Jewels selepas mendengar nasihat dua figura hebat, Tim Cahill dan Sonny Bill Williams.