Pasukan Johor Motorsports Racing (JMR) ceria apabila mengungguli kategori Pro-Am Perlumbaan CrowdStrike 24 Jam Spa di Spa-Francochamps, Belgium.
JMR muncul juara kategori itu menerusi jentera yang dipandu YAM Tunku Panglima Johor, Tunku Abdul Rahman Al-Haj Ibni Sultan Ibrahim, YAM Tunku Putera Johor, Tunku Abu Bakar Al-Haj ibni Sultan Ibrahim, Ben Green dan Jordan Love.
Selain mengungguli kategori Pro-Am, jentera Chevrolet Corvette Z06 GT3.R JMR turut menamatkan perlumbaan di tangga ke-29 keseluruhan.
Pasukan High Class Racing yang diwakili Kerong Li, Anders Fjordbach, Bo Yuan dan Hongli Ye terpaksa berpuas hati di tempat kedua.
Pasukan GetSpeed Team PCX yang diwakili Patrick Charlaix, Jordan Boisson, Marvin Klein dan Benjamin Paque pula menduduki tempat ketiga.
Gelaran juara keseluruhan Perlumbaan CrowdStrike 24 Jam Spa digondol pasukan Lionspeed GP. Lionspeed GP yang diwakili Ricardo Feller, Thomas Preining dan Bastian Buus turut mengungguli kategori Pro-Cup.
Selepas ini, JMR mengalihkan fokus kepada Perlumbaan Suzuka 1000km dari 11 hingga 13 September ini. JMR berharap dapat mengulangi kejayaan bergelar juara pada edisi 2025.