Pasukan Johor Motorsports Racing (JMR) membuka kempen GT World Challenge Asia 2025 dengan langkah kanan apabila meraih podium perlumbaan pertama di Sepang.
YAM Tunku Abdul Rahman Al-Haj Ibni Sultan Ibrahim, Tunku Panglima Johor dan rakan sepasukan, Alexander Sims dari Britain meraih kedudukan ketiga untuk kategori Pro-Am.
Origine Motorsports yang juga juara GT World Challenge Asia 2024 memenangi perlumbaan pertama menerusi gandingan Bob Yuan dan Leo Ye Hongli.
Pelumba Phantom Global Racing yang juga juara edisi 2023, Anthony Liu dan rakan sepasukan, Dorian Boccolacci terpaksa berpuas hati dengan kedudukan kedua.
Satu lagi kereta JMR yang dipandu YAM Tunku Abu Bakar Al-Haj Ibni Sultan Ibrahim, Tunku Putera Johor dan rakan sepasukan, Jordan Love dari Britain mengalami kemalangan pada pusingan pertama.
Meskipun ketinggalan pada peringkat awal, Tunku Abu Bakar dan Love berjaya mengejar selepas jentera mereka siap dibaiki. Mereka menamatkan perlumbaan di tangga ke-11.
Tunku Jefri berharap dapat meneruskan momentum podium perlumbaan pertama dalam saingan perlumbaan kedua yang berlangsung pada 13 April ini.
“Semoga kami dapat memberikan aksi yang baik dalam perlumbaan esok. Bangga dengan kerja keras pasukan yang luar biasa hari ini dan juga dalam beberapa bulan terakhir ini,” katanya.
Perlumbaan pertama GT World Challenge Asia 2025 di Sepang turut disaksikan KDYMM SPB Raja Permaisuri Agong Raja Zarith Sofiah.
Baginda diiringi YAM Tunku Idris Iskandar Al-Haj Ibni Sultan Ibrahim, Tunku Temenggong Johor, YAM Tunku Tun Aminah Binti Sultan Ibrahim serta suami, Dato’ Dennis Muhammad Abdullah.
Turut sama berangkat ialah DYAM Raja Iskandar Dzulkarnain Ibni Almarhum Sultan Idris Shah, Raja DiHilir Perak.