Johor Motorsports Racing (JMR) meneruskan kecemerlangan dalam GT World Challenge Asia 2025 apabila menjuarai perlumbaan kedua di Sepang.
Kejayaan ini dicapai menerusi gandingan YAM Tunku Abdul Rahman Al-Haj Ibni Sultan Ibrahim, Tunku Panglima Johor dan Alexander Sims dari Britain.
Sebelum itu, mereka meraih kedudukan ketiga dalam perlumbaan pertama yang berlangsung pada 12 April lalu.
Mereka memenangi kategori Pro-Am mengatasi cabaran pelumba Craft-Bamboo Racing, Qi Cao dan Jayden Ojeda.
Pelumba Origine Motorsports dan juara kejohanan edisi 2024, Bob Yuan dan Leo Ye Hongli terpaksa berpuas hati dengan kedudukan ketiga.
Satu lagi jentera JMR yang dikendalikan YAM Tunku Abu Bakar Al-Haj Ibni Sultan Ibrahim, Tunku Putera Johor dan Jordan Love terpaksa menarik diri dari perlumbaan.
Ini selepas Love terlibat dalam perlanggaran dengan pelumba lain menyebabkan kerosakan pada jentera Corvette mereka.
Tunku Abdul Rahman mengakui merasa gembira kerana dapat meraih kejayaan pertama dalam GT World Challenge Asia 2025 untuk JMR.
“(Saya) amat gembira dan menghargai semua orang yang datang menyokong kami (sepanjang perlumbaan),” katanya.
Menariknya, ini juga kejayaan pertama JMR bersama Chevrolet selepas memeterai kerjasama sebagai rakan teknikal baharu pasukan itu.
Perlumbaan turut disaksikan KDYMM SPB Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim dan KDYMM SPB Raja Permaisuri Agong Raja Zarith Sofiah.
Turut sama berangkat ialah DYAM Raja Iskandar Dzulkarnain Ibni Almarhum Sultan Idris Shah, Raja Di-Hilir Perak; YAM Tunku Idris Iskandar Al-Haj Ibni Sultan Ibrahim, Tunku Temenggong Johor dan YAM Tunku Tun Aminah Binti Sultan Ibrahim bersama suami, Dato’ Dennis Muhammad Abdullah.
Selepas ini, saingan GT World Challenge Asia diteruskan ke pusingan kedua di Mandalika, Indonesia dari 9 hingga 11 Mei ini.