Johor dan Singapura secara rasmi memeterai perjanjian kerjasama pembangunan bola sepak menerusi satu upacara di Singapura hari ini.
Pemeteraian perjanjian dibuat menerusi Presiden Persatuan Bola Sepak Negeri Johor (PBNJ), Dato’ Haji Ismail Karim dan Pemangku Presiden Persatuan Bola Sepak Singapura (FAS), Bernard Tan.
Majlis turut disaksikan oleh Tunku Mahkota Johor (TMJ) merangkap pemilik Johor Darul Ta’zim (JDT) FC, Duli Yang Amat Mulia (DYAM) Tunku Ismail Ibni Sultan Ibrahim.
Menerusi kerjasama ini, PBNJ dan FAS bakal memberi fokus kepada pembangunan akar umbi terutama pemain-pemain muda berpotensi.
Ini termasuk mengadakan siri perlawanan persahabatan membabitkan pasukan-pasukan remaja Johor dan Singapura.
Kerjasama ini turut mewujudkan kembali aksi ‘Causeway Derby’ yang menjadi tumpuan penyokong di selatan tanah air satu ketika dahulu.
Ini bakal direalisasikan menerusi aksi persahabatan tahunan membabitkan pasukan Pilihan Johor dan Pilihan Singapura.
Di samping itu, PBNJ dan FAS turut meneroka perkongsian kepakaran dari segi teknikal, perubatan, sains sukan dan komersial.