Bakal pertahanan warisan Harimau Malaya, Jon Irazabal memberikan khabar baik buat skuad kebangsaan dari jauh.
Baru-baru ini, pengendali pasukan kebangsaan iaitu Peter Cklamovski telah memberi gambaran bahawa tonggak Sabah FK dari Azerbaijan itu bakal menjadi watak baharu buat Harimau Malaya.
“Saya harap dia dapat menyertai kem skuad kebangsaan selepas ini”, kata Peter Cklamovski kepada wartawan Astro Arena, Zulhelmi Zainal Azam.
Pemain berusia 28 tahun itu menjadi watak penting buat pasukan kendalian Vasiliy Berezutskiy yang kini berada pada kedudukan kelima Misli Premier League 24/25.
Berdasarkan statistik oleh laman Sofascore, Jon Irazabal telah turun dalam kesebelasan utama sebanyak 22 daripada 24 perlawanan liga musim ini dan mengumpul 2160 minit.
Bukan itu sahaja, pemain kelahiran Sepanyol ini juga menjadi antara pemain paling cemerlang dalam merekodkan hantaran tepat iaitu 50.7 purata (89%) dan juga 4.4 purata hantaran jauh (58%).
Statistik pertahanan beliau juga memberangsangkan di Azerbaijan apabila mencatatkan pemulihan bola sebanyak 13.3 kali dalam setiap perlawanan.
Beliau dijangka bakal memperkuat Harimau Malaya pada aksi kedua Kumpulan F, Kelayakan Piala Asia 2027 menentang Nepal pada 10 Jun 2025.