Pemain pertahanan Malaysia, Jon Irazabal membantu Sabah FK kembali menemui rentak kemenangan dalam saingan Azerbaijan Premier League (APL).
Ini selepas Sabah FK menewaskan Sabail dalam aksi terbaru liga pada 19 April lalu. Ini kali pertama Sabah meraih kemenangan sejak menewaskan Turan pada 9 Februari lalu.
Innocent Nshuti meletakkan Sabail di hadapan pada minit ke-22. Sofian Chakla menyamakan kedudukan buat tuan rumah sembilan minit selepas itu.
Soulyman Allouch kembali meletakkan Sabail di hadapan pada minit ke-74. Sabah mengikat kedudukan 2-2 menerusi gol sendiri Dmytro Lytvyn.
Joy-Lance Mickels memastikan kemenangan milik Sabah menerusi gol pada minit akhir permainan. Keputusan ini menyaksikan pasukan itu meraih 39 mata di tempat kelima liga.
Kemenangan ini dijangka merangsang semangat Sabah untuk aksi separuh akhir kedua Azerbaijan Cup menentang Neftci pada 24 April.
Sekiranya Sabah berjaya mara ke final, Irazabal berpeluang menambah satu lagi trofi dalam kariernya. Sebelum ini, beliau pernah menjulang Copa RFEF bersama CD Mirandes pada musim 2018/19.
Perkembangan terbaru Irazabal juga bakal menarik perhatian pengendali Harimau Malaya, Peter Cklamovski. Ini kerana jurulatih Australia itu berharap beliau dapat menyertai kem seterusnya pada Jun ini.