Penyerang Kuching City FC, Jordan Mintah menganggap beraksi dalam saingan Liga Malaysia (Liga M) bukan mudah.
Pandangan itu dibuat berdasarkan pengalaman beliau beraksi dalam Liga M selama lima tahun. Ini kerana penyokong mahu penyerang import yang beraksi perlu menunjukkan impak segera di atas padang.
Sekiranya penyerang tersebut gagal menunjukkan sentuhan penyudah selepas beberapa perlawanan, Mintah percaya penyokong akan memberi tekanan kepada penyerang itu.
Atas sebab itu, beliau menghormati tonggak import terutama yang bermain sebagai penyerang kekal di Liga M selama beberapa tahun. Ini kerana ini menunjukkan mereka sedia memenuhi jangkaan peminat.
“Sebagai orang asing yang masih kekal beraksi di Malaysia selama lima tahun, saya menghormati pemain import yang kekal di sini selama lima, enam atau tujuh tahun,” katanya kepada Nadi Arena.
“Saya cukup menghormati mereka kerana sebagai penyerang yang beraksi di Malaysia selama lima tahun, ia bukan mudah. Sebab peminat bola sepak Malaysia hanya mahukan anda menjaringkan gol.
“Jika anda gagal melakukannya dalam aksi pertama atau kedua, anda berdepan masalah. Itu sebab bukan mudah untuk beraksi di Liga Malaysia (Liga M).”
Mintah percaya antara sebab sesetengah peledak import gagal bersaing dalam Liga M ialah intensiti permainan liga yang mencabar.
“Anda dapat lihat mereka yang datang ke sini, mereka ingat (Liga M) ini mudah. Mereka bukan pemain yang tidak bagus, mereka pemain bagus.
“Tapi liga di sini berbeza, liga ini cukup mencabar. Jika anda tidak menghormati Liga M, anda tidak akan berjaya,” ujarnya.
Mintah dilaporkan bakal menjadi tonggak naturalisasi seterusnya yang akan menyertai skuad Harimau Malaya.
Selain Kuching City, beliau pernah beraksi untuk KL City FC dan Terengganu FC. Antara pencapaian terbaik Mintah ialah naib juara Piala AFC 2022 dan juara Piala MFL 2023.
Beliau kini sudah meledakkan 13 gol dalam 26 penampilan Liga M untuk musim 2024/25.