Jordan bakal menggunakan khidmat tiga bintang Selangor FC menjelang pusingan ketiga kelayakan Piala Dunia 2026 yang bermula pada September ini.
Tiga bintang tersebut ialah Noor Al-Rawabdeh, Reziq Bani Hani dan Ali Olwan. Nama ketiga-tiga pemain Merah Kuning itu tersenarai dalam senarai awal 34 pemain yang dipanggil jurulatih, Jamal Sellami.
Noor dan Reziq menjadi penggerak di sebalik kejayaan Selangor mara ke final Piala FA 2024. Sementara Ali pula merupakan bintang terbaru yang menyertai Merah Kuning menjelang tetingkap kedua perpindahan Liga Malaysia (Liga M).
Satu nama yang tersisih daripada senarai awal skuad Al-Nashama ialah pemain tengah PDRM FC, Fadi Awad. Kali terakhir pemain berusia 31 tahun itu bersama Jordan ialah kempen Piala Asia 2023.
Sejak itu, nama Fadi tidak dipanggil menyertai skuad kebangsaan Jordan untuk pusingan kedua kelayakan Piala Dunia 2026 pada Mac dan Jun lalu.
Beberapa bekas bintang Liga M turut tersenarai dalam senarai awal skuad Jordan. Antara nama yang dipanggil Sellami ialah Mahmoud Al-Mardi dan Yazan Al-Arab.
Al-Mardi pernah mewarnai saingan Liga M bersama Kedah Darul Aman FC (KDA FC). Sementara orang besi FC Seoul, Yazan pula pernah menjadi tonggak pertahanan Selangor selama dua musim.
Al-Nashama telah mengatur dua aksi persahabatan tertutup dengan Korea Utara pada 27 dan 29 Ogos ini. Ini sebagai persediaan menghadapi Kuwait dan Palestin untuk dua aksi pusingan ketiga kelayakan Piala Dunia 2026 pada September ini.
Jordan berada dalam Kumpulan B bersama Korea Selatan, Kuwait, Palestin, Iraq dan Oman.