Sebelum beraksi dengan Johor Darul Ta’zim (JDT), Jordi Amat beraksi dengan banyak pasukan Eropah termasuk Swansea City. Justeru, tidak hairanlah salah satu memori paling berharga bagi Amat ialah membantu Swansea mengalahkan Manchester United sebanyak dua kali pada 2014 dan 2015.
Ia satu memori indah kerana jika dibandingkan United dengan The Swans, mereka merupakan pasukan bukan pilihan dalam Liga Perdana Inggeris (EPL) ketika itu. Tetapi di bawah bimbingan pengurus Garry Monk, mereka melakukan apa yang dianggap mustahil selama ini ke atas United yang ketika itu dibimbing Louis van Gaal.
Lebih manis, salah satu kemenangan itu direkodkan di Old Trafford pada Ogos 2014 dengan Amat beraksi dalam kesebelasan utama selama 90 minit. Bagi kapten Harimau Selatan, ia sesuatu yang akan diingatinya sampai bila-bila.
“Ya, saya bermain menentang ramai pemain hebat. Adakalanya, saya tak ingat berapa ramai pemain yang saya pernah hadapi. Ya, saya sudah beraksi dalam liga profesional selama 12 tahun dan sudah meraih pelbagai pengalaman perlawanan.
“Saya bangga dengan semua ini dengan sesetengah detik indah yang saya ingati sampai bila-bila. Di Swansea, dalam EPL kita dua kali mengalahkan Manchester United. (Perlawanan) di tempat lawan, ianya gila (dengan) saya beraksi 90 minit kedua-dua perlawanan.
“Jadi, ya, kita bermain menentang (Wayne) Rooney, menentang (Rio) Ferdinand. Ia satu memori yang bagus dan saya cuba menurunkan semua pengalaman ini dalam bilik persalinan dan rakan-rakan sepasukan, untuk berkongsi detik-detik sebegini,” katanya bila ditemubual wartawan Astro Arena, Zulhelmi Zainal Azam.
Amat mengakui memori tersebut kadang-kadang mengundang usikan daripada pemain-pemain JDT yang menyokong Red Devils. Di sebalik semua itu, bek tengah berusia 31 tahun itu mengakui suasana di Old Trafford dianggap yang terbaik sebagai pemain.
“Ya, saya tahu. Semua rakan sepasukan saya pun menyokong Manchester United. Dan saya boleh katakan, (Old Trafford) ialah stadium terbaik saya pernah bermain. Old Trafford amat menakjubkan tetapi amat seronok untuk menang di sana. Jadi, ia satu detik indah bagi saya,” tambahnya.