Jordi Amat Bakal Ke Sukan Asia?
MakanBola
Timnas Indonesia

Johor Darul Ta’zim FC (JDT) FC terpaksa melupakan khidmat kapten Jordi Amat sekiranya PSSI menyenaraikannya dalam senarai pemain yang beraksi di Sukan Asia 2023 di Hangzhou, China.

Perkara ini dinyatakan oleh Exco PSSI, Endri Erawan. Terdapat beberapa pemain senior yang sedang dipertimbang untuk disenaraikan dalam skuad B-24 Indonesia ke Sukan Asia nanti.

Selain Amat, nama Rachmat Irianto juga dicanang bakal menyertai Timnas Indonesia ke temasya berprestij itu.

“Kalau long list-nya sudah keluar. Ada Jordi Amat, [Rachmat] Irianto, dan satu lagi nanti dikabarkan. Long list itu ada 44 pemain tapi yang tidak disetujui oleh KOI [Komite Olimpiade Indonesia] ada tiga jadi tinggal 41 pemain. Di situ ada lima pemain senior,” kata Endri seperti dilaporkan CNN Indonesia.

Memandangkan temasya Sukan Asia diadakan di luar kalendar FIFA, PSSI mahu mengelak situasi pemain-pemain tidak dilepaskan oleh kelab-kelab mereka terutama dari Liga 1 Indonesia.

Situasi ini berlaku untuk Piala AFF B-23 pada Ogos lalu dengan beberapa tonggak skuad B-23 Indonesia tidak dilepaskan kelab-kelab liga atas alasan ia diadakan di luar kalendar FIFA.

Justeru, Endri mendedahkan jurulatih skuad B-24 Indonesia, Indra Sjafri sudah membuat senarai pemain mana yang boleh dipanggil untuk temasya itu.

“Insya Allah tidak ada masalah [dengan klub] karena coach Indra sudah melakukan pendekatan jauh-jauh hari dan dia sudah tahu siapa yang dilepas, siapa yang tidak,” tambahnya.

Sekiranya nama Amat tersenarai, kapten Harimau Selatan itu bakal terlepas peluang beraksi dalam dua aksi suku akhir Piala Malaysia menentang Negeri Sembilan pada 13 dan 23 September.

Selain itu, bekas bek tengah Swansea City itu juga tidak dapat beraksi menentang Kawasaki Frontale dalam aksi pertama Kumpulan I Liga Juara-Juara AFC (ACL) pada 19 September.

Ini disebabkan saingan Kumpulan F Sukan Asia bakal berlangsung dari 19 hingga 24 September ini. Sekiranya Indonesia berjaya mara ke pusingan 16 terbaik, Amat juga terlepas peluang membantu JDT merangkul trofi Liga Super pada 27 September ini.

Ini kerana seandainya Harimau Selatan berjaya mengalahkan PDRM FC pada hari itu, mereka akan bergelar juara liga buat kali ke-10 berturut-turut.