Jordi Amat Bakal Kembali Ke Eropah?
MakanBola
Johor Southern Tigers

Pemain pertahanan Johor Darul Ta’zim (JDT), Jordi Amat dilaporkan bakal kembali ke Eropah selepas ini.

Sebelum ini, pemerhati bola sepak negara, Juan Budiman mendakwa 10 pemain bakal meninggalkan JDT pada akhir musim 2024/25 bersama jurulatih, Hector Bidoglio.

Antara nama yang didakwa bakal meninggalkan pasukan gergasi selatan tanah air itu ialah Amat, Shane Lowry dan Jese Rodriguez.

Kini, pemain golf profesional negara, Zafran Abdullah mendedahkan Amat bakal kembali ke Sepanyol apabila kontraknya bersama JDT berakhir.

“Selamat tinggal buat Jordi Amat, ianya sesuatu yang menyeronokkan memiliki anda sebagai rakan dan pelajar yang setia.

“Saya ucapkan selamat berjaya kepada anda apabila anda kembali ke Sepanyol untuk babak seterusnya dalam karier anda,” katanya dalam satu hantaran di Instagram.

Amat bukan asing dengan saingan liga Sepanyol kerana pernah beraksi untuk Espanyol, Rayo Vallecano dan Real Betis.

Bek tengah berusia 33 tahun itu merekodkan 25 penampilan, dua gol dan satu bantuan gol untuk musim 2024/25.

Sejak menyertai JDT pada Julai 2022, Amat telah meraih gelaran juara Liga Super, Unifi Piala Malaysia, Piala FA dan Piala Sumbangsih.