Peluang pasukan Johor Darul Ta’zim (JDT) untuk mendaftarkan Jordi Amat sebagai pemain import kuota Asia Tenggara semakin cerah apabila Indonesia akan meneruskan proses naturalisasi pemain itu.
Buat masa ini, nama Jordi Amat tidak akan kelihatan beraksi untuk JDT dalam saingan Liga Super dan Piala FA kerana nama pemain kelahiran Sepanyol itu tidak sempat didaftarkan sebagai pemain import di jendela perpindahan pertengahan musim.
Namun begitu, JDT sudah menggunakan khidmat Jordi dalam aksi Liga Juara-Juara AFC ketika perlawanan 16 terakhir menentang Urawa Red Diamonds di mana mereka tewas 0-5 kepada pasukan gergasi Jepun itu.
Selain Jordi Amat, Dewan Perwakilan Rakyat Indonesia juga bersetuju untuk melanjutkan proses naturalisasi seorang lagi pemain luar iaitu Sandy Walsh yang kini beraksi untuk KV Mechelen di Liga Utama Belgium.
Manakala proses natruralisasi seorang lagi pemain, Shayne Pattynama dijangka akan dibincangkan dalam tempoh beberapa hari yang akan datang memandangkan dokumen pemain itu tiba sedikit lewat.
Indonesia sedang membina pasukan mereka untuk menghadapi Piala Asia 2023 di mana Indonesia buat pertama kalinya layak secara merit ke kejohanan bola sepak terbesar di Asia itu.