Kapten Johor Darul Ta’zim FC (JDT FC), Jordi Amat mahu penyokong pasukan itu agar terus memberi sokongan padu sepanjang musim 2024/25.
Perlawanan pertama Liga Super membabitkan JDT dan Negeri Sembilan pada Sabtu lepas menyaksikan kehadiran 19,988 orang di Stadium Sultan Ibrahim (SSI).
Dan penyokong Harimau Selatan pulang dengan gembira apabila pasukan itu meraih kemenangan 3-1 ke atas skuad Rusa.
Dua gol Bergson da Silva dan satu gol Amat memastikan tiga mata milik tuan rumah. Sementara pemain sayap Myanmar, Hein Htet Aung menjaringkan gol saguhati buat pelawat.
Menariknya, ini gol pertama yang dijaringkan Amat buat JDT dalam saingan Liga Super sejak menyertai pasukan itu pada Julai 2022.
Bek tengah berdarah Indonesia-Sepanyol itu mengakui gembira dapat memberi sumbangan positif kepada JDT untuk aksi pertama liga. Dan Amat percaya dengan sokongan padu penyokong, JDT mampu meneruskan kecemerlangan yang dilakar pada musim sebelumnya.
“Helo, semua. Perlawanan pertama di tempat sendiri. (Saya) amat gembira kerana (menjaringkan) gol (dan) meraih kemenangan. Ini satu cara yang baik untuk memulakan musim.
“Ini satu musim yang panjang tapi kami akan menunggu anda setiap hujung minggu. Terima kasih atas sokongan anda dan kita akan berjumpa lagi,” katanya dalam satu hantaran video yang disiarkan di Johor Southern Tigers semalam.
JDT selepas ini akan bertandang ke Stadium Bola Sepak Kuala Lumpur, Cheras pada 25 Mei ini untuk menentang wakil Lembah Klang, KL City FC.