Advertisements
Jose Mourinho Ditawar RM547 Juta Kemudi Arab Saudi
Asia
MakanBola
AS Roma

Dengan kontrak berbaki setahun bersama AS Roma, ramai ingin tahu apa rancangan Jose Mourinho jika kontraknya tidak disambung oleh pemilik kelab, The Friedkin Group. Baru-baru ini, timbul laporan Persekutuan Bola Sepak Arab Saudi (SAFF) bersedia membayarnya £100 juta (RM547 juta) sebagai jurulatih pasukan kebangsaan mereka.

Menurut laporan akhbar Corriere dello Sport, SAFF bukan saja bersedia membayar £52 juta (RM284 juta) untuk tempoh dua tahun. Malah, mereka bersedia menawarkan dua klausa kontrak yang boleh diaktifkan Mourinho sekiranya bergelar jurulatih Green Falcons.

Pertama, bekas jurulatih Manchester United itu boleh saja membatalkan kontrak pada tahun pertama. Kedua, klausa pembaharuan kontrak yang membenarkannya membimbing skuad senior Arab Saudi sehingga 2026 andainya mereka berjaya layak ke Piala Dunia 2026.

Bagaimanapun, Green Falcons bukan satu-satunya tawaran dari Arab Saudi yang boleh memikat hati pengurus Portugal itu. Dengan kontrak Rudi Garcia bersama Al-Nassr bakal berakhir tidak lama lagi, tidak mustahil pihak pengurusan bersedia membawa Mourinho dan mempertemukannya semula dengan bekas anak didiknya di Real Madrid, Cristiano Ronaldo.

Kedua-duanya pernah berada di Bernabeu dari 2010 hingga 2013. Kombinasi Mourinho dan Ronaldo membantu Los Blancos memenangi La Liga dan Copa del Rey dalam tempoh berkenaan.

Begitupun, Mourinho difahamkan masih berminat untuk kekal di Stadio Olimpico kerana mempunyai hubungan baik dengan penyokong Roma. Tetapi keengganan The Friedkin Group menyokong jurulatih mereka itu termasuk tiada tawaran kontrak baru menyebabkan ramai percaya bekas pengurus Chelsea itu akan meninggalkan mereka pada musim hadapan.