Prestasi cemerlang pemain warisan Malaysia, Josh Brownhill sepanjang September lalu diiktiraf Persatuan Pemain Bola Sepak Profesional (PFA).
Ini selepas nama kapten Burnley itu disenaraikan dalam senarai enam calon yang berpotensi memenangi anugerah Pemain Terbaik Bulanan PFA bulan September.
Selain Brownhill, turut tersenarai ialah Michael Cooper dan Gustavo Hamer (Sheffield United), Lewis Travis (Blackburn Rovers), Josh Maja (West Brom) dan Borja Sainz (Norwich City).
Nama pemain berusia 28 tahun itu tersenarai selepas membantu The Clarets kekal tanpa kalah dalam tiga perlawanan sepanjang September. Brownhill turut merekodkan satu gol dan satu bantuan gol dalam aksi menentang Portsmouth pada 21 September.
Bekas pemain tengah Bristol City itu dijangka berdepan cabaran pemain lain untuk anugerah berkenaan terutama penjaga gol The Blades, Cooper. Ini kerana penjaga gol berusia 24 tahun itu kekal tanpa bolos dalam empat perlawanan sepanjang September.
Prestasi mantap Brownhill bakal menyemarakkan lagi minat penyokong Harimau Malaya yang ingin melihatnya menyarung jersi pasukan itu.
Ini kerana sebelum ini dalam satu hantaran e-mel kepada Future Talents, beliau bersedia mempertimbang peluang mewakili Harimau Malaya di peringkat antarabangsa.
Brownhill bukan satu-satunya pemain warisan Malaysia yang berada di Turf Moor. Pemain tengah menyerang The Clarets, Zian Flemming juga memiliki darah warisan Malaysia.
Flemming menyertai Burnley secara pinjaman dari Milwall pada musim panas 2024/25 dengan pilihan perpindahan tetap.