Nama pemain tengah Johor Darul Ta’zim FC (JDT FC), Juan Muniz menjadi sebutan peminat bola sepak Asia baru-baru ini.
Ini selepas nama bekas pemain tengah Sporting Gijon itu tersenarai dalam kesebelasan terbaik Liga Juara-Juara AFC Elit (ACLE) hari perlawanan kedua.
Muniz dipilih atas persembahan cemerlangnya dalam aksi kedua Liga Timur ACLE menentang Shanghai Shenhua pada 1 Oktober lalu. Perlawanan itu berkesudahan dengan kemenangan 3-0 buat JDT.
Pemain tengah Sepanyol itu bukan saja mencipta satu bantuan gol untuk gol Arif Aiman Hanapi pada minit ke-11. Malah, Muniz turut menyempurnakan sepakan percuma cantik yang menewaskan penjaga gol Shenhua, Bao Yaxiong.
Persembahan Muniz turut diiktiraf Sofascore di mana beliau mendapat markah 8.4, 0.8 mata di hadapan Arif.
Selain Muniz, satu lagi kelab Asia Tenggara, Buriram United turut memiliki wakil dalam kesebelasan terbaik ACLE menerusi Curtis Good.
Good membantu Thunder Castle menewaskan juara Piala AFC 2023/24, Central Coast Mariners 2-1 dalam aksi kedua ACLE di Gosport. Ini memastikan Buriram kekal tanpa kalah dalam ACLE selepas dua perlawanan.
Tiga bekas bintang Liga Perdana Inggeris (EPL), Joselu, Sadio Mane dan Riyad Mahrez turut tersenarai dalam kesebelasan terbaik ACLE. Trio berkenaan masing-masing membantu Al-Gharafa, Al-Nassr dan Al-Ahli meraih kemenangan dalam aksi kedua Liga Barat.
Gotoku Sakai, Yun Pyeong-gook, Ibanez, Lucas Mauragis, Kota Watanabe dan Anderson Lopes melengkapkan senarai kesebelasan terbaik ACLE hari perlawanan kedua.