Kelibat penyerang KV Kortrijk, Luqman Hakim Shamsuddin masih tidak kelihatan apabila beliau masih belum diturunkan jurulatih skuad bawah 23 tahun negara, Juan Torres Garrido dalam aksi pershabatan menentang China.
Difahamkan, Luqman tidak dapat diturunkan kerana mengalami kecederaan otot dan tidak mencapai tahap kecergasan yang diinginkan.
Perkara tersebut dikongsikan oleh Pengarah Bukan Eksekutif KV Kortrijk, Amin Fuad dalam satu ciapan di laman X beliau.
“Untuk informasi, Luqman Hakim mengalami kecederaan otot dan tak fully fit. Kecederaan ringan. Mula-mula suspected hamstring,” coret Amin Fuad di laman X.
Keadaan yang menimpa Luqman itu memaksa Juan Torres terpaksa menggunakan khidmat pemain lain seperti Fergus Tierney dan Alif Izwan untuk mengisi posisi serangan Malaysia B-23 menentang China.
Dalam aksi pertama tempoh hari, Malaysia berjaya mengejutkan China dengan kemenangan tipis 1-0 hasil jaringan pemain pertahanan Selangor FC, Harith Haiqal Adam Afkar.
Luqman sebelum ini memberi bayangan bahawa masa depannya bakal berubah pada bulan hadapan. Namun buat masa ini, Luqman masih begelar pemain KV Kortrijk.