Pengendali skuad Malaysia Bawah 23 Tahun (B-23), Juan Torres Garrido mengakui bimbang melihat aksi anak buahnya hari ini.
Aksi persahabatan kedua menentang skuad B-23 China hari ini berakhir dengan kekalahan tipis 2-1 buat Harimau Muda.
Kesilapan penjaga gol Rahadiazli Rahalim memberi peluang kepada tuan rumah mendahului menerusi Du Yuesheng. Walaupun Aliff Izwan Yuslan menyamakan kedudukan buat Harimau Muda, China meraih kemenangan menerusi Tao Qianlong.
Lebih malang, Malaysia terpaksa menghabiskan baki 60 minit perlawanan dengan 10 pemain selepas Aliff Izwan dibuang padang selepas mengutip kad kuning kedua.
Garrido mengakui skuad muda negara mengambil sedikit masa untuk bangkit selepas ketinggalan.
Pada masa sama, beliau turut memuji skuad negara kerana mengekalkan disiplin permainan biarpun terpaksa beraksi dengan 10 orang pemain.
“Saya fikir secara keseluruhan, satu pengalaman yang bagus. Dua perlawanan dengan lawan yang bagus, pasukan perlu berdepan dengan situasi berbeza.
“Prestasi dalam perlawanan pertama amat memuaskan. Manakala dalam perlawanan kedua, kita mengambil sedikit masa untuk bangkit dalam perlawanan.
“Kemudian selepas kehilangan seorang pemain dan bermain dengan 10 orang dalam (tempoh) 60 minit, para pemain menunjukkan usaha yang bagus (dan) memberi segala-galanya.
“Kita anggap ini sebahagian daripada latihan untuk berdepan situasi dalam Piala Asia B-23,” katanya.
Dua aksi persahabatan dengan China merupakan sebahagian daripada persiapan skuad B-23 negara menghadapi Piala Asia B-23 2024.