Pengendali Malaysia Bawah 23 Tahun (B-23), Juan Torres Garrido mengakui terpaksa menyisihkan penjaga gol Terengganu FC, Rahadiazli Rahalim akibat kecederaan.
Perkara ini didedahkan beliau kepada media sebelum berlepas bersama delegasi Harimau Muda ke Qatar awal pagi ini.
Ini menjadikan Rahadiazli sebagai pemain muda keempat negara yang terpaksa disisihkan untuk kempen Piala Asia B-23 2024.
Sebelumnya, Garrido terpaksa melupakan khidmat Azam Azmi Murad, V. Ruventhiran dan Richard Chin kerana masalah kecederaan.
“Kita sekarang ini (terpaksa melupakan khidmat) (Azam Azmi Murad), Ruventhiran dan Abe (nama panggilan Rahadiazli). Beliau juga mengalami kecederaan.
“Jadi, kita terpaksa gugurkan mereka bertiga kerana kecederaan. Dan Richard Chin juga mengalami kecederaan. Pemain-pemain ini tidak dapat sertai pasukan kerana masalah kecederaan,” katanya seperti yang dilaporkan Harimau Malaya.
Garrido telah memanggil penjaga gol Perak, Firdaus Irman Mohd Fadhil bagi mengisi kekosongan yang ditinggalkan Rahadiazli.
Firdaus sebelum ini diletakkan dalam senarai pemain bersedia seandainya kecederaan menimpa Rahadiazli, Azim Al Amin Kamaruddin atau Sikh Izhan Nazrel.
Kelibatnya sudah dilihat menjalani latihan bersama skuad B-23 negara sejak beberapa hari lalu menerusi satu gambar yang dimuatnaik Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM).