Gelagat juara dunia WSBK tiga kali, Toprak Razgatlioglu yang teruja bertemu pelumba JDT Racing Team, Hafizh Syahrin Abdullah menjadi bualan peminat.
Pertemuan dua figura itu dirakam lensa kamera Tarmac Sports baru-baru ini. Hafizh yang pada ketika itu sedang ditemu bual media kelihatan gembira apabila disapa jaguh berusia 29 tahun itu.
Selepas mengucapkan salam kepada beliau, kedua-duanya berpelukan sebelum Razgatlioglu berlalu dari situ.
Seorang peminat bernama Moon menganggap jaguh WSBK itu sebagai legenda. “Toprak tegur Hafizh, legenda,” katanya di TikTok.
Seorang lagi peminat bernama Azizi Syahmi menyifatkan ini pertemuan antara dua juara. “Juara ARRC dan juara WSBK,” ujarnya.
Hafizh dan Toprak merupakan sebahagian daripada barisan pelumba yang memeriahkan pelancaran MotoGP musim 2026 di Kuala Lumpur.
Selain mereka, juara bertahan MotoGP, Marc Marquez, adiknya, Alex Marquez dan bekas juara dua kali, Francesco Bagnaia turut hadir dalam majlis sama.
Razgatlioglu dilabel Marquez versi WSBK kerana memiliki rekod dominan sebagai juara kejohanan berkenaan.
Ini termasuk 37 dan 39 kemenangan yang diraih bersama Yamaha dan BMW untuk WSBK. Musim 2026 menyaksikan Razgatlioglu akan bersaing dalam MotoGP bersama Prima Primac Racing Team.
Ini menjadikan beliau bukan saja pelumba Turkiye pertama berlumba dalam MotoGP. Malah, beliau juga menjadi pelumba WSBK pertama yang beralih ke saingan tersebut.