Juara dunia, Emiliano Martinez nyaris-nyaris menyertai kelab gergasi Liga Perdana Inggeris (EPL), Man United.
Sejak menyertai Aston Villa dengan yuran perpindahan £20 juta (RM120 juta) pada awal musim 2020/21 dari Arsenal, reputasi penjaga gol berusia 31 tahun itu semakin menyerlah.
Martinez meraih anugerah Penjaga Gol Terbaik Piala Dunia 2022 dan membantu Argentina bergelar juara dunia buat kali ketiga di Qatar.
Dan pada musim lepas, beliau membantu Aston Villa layak ke Liga Juara-Juara UEFA (UCL) musim 2024/25 selepas meraih tempat keempat dalam liga.
Melihat kepada pencapaian yang dilakar Martinez bersama Aston Villa dan Argentina, tidak hairanlah lembaga pengarah United menjadikan beliau pilihan utama pengganti legenda Sepanyol, David de Gea.
De Gea meninggalkan The Red Devils pada akhir musim 2022/23 selepas kelab memutuskan untuk tidak memperbaharui kontraknya. Sepanjang bersama United, beliau merekodkan 545 penampilan dan memiliki rekod 190 kali tanpa bolos.
Walau bagaimanapun, Daily Mirror mendedahkan ejen Martinez, Gonzalo Goni memaklumkan perjanjian tersebut kemudiannya dibatalkan oleh pengurus Belanda, Erik ten Hag. Ini kerana beliau lebih berminat mendapatkan penjaga gol Cameroon, Andre Onana.
“”Tahun lalu beliau [Martinez] sangat dekat dengan Manchester United (tetapi) jurulatih (Erik ten Hag) memilih Onana kerana beliau sudah mengenalinya,”
“Tetapi semua orang di Manchester United kemudian menegaskan bahawa penjaga gol yang ideal untuk menang (trofi) ialah Emiliano Martinez,” katanya.
Penjaga gol Cameroon itu menjadi pilihan ten Hag kerana kedua-duanya pernah bekerjasama di kelab gergasi Belanda, Ajax Amsterdam. Onana membantu Ajax bergelar juara Eredivisie sebanyak tiga kali di bawah bimbingan pengurus berusia 54 tahun itu.
Onana kemudiannya berpindah ke Old Trafford dari Inter Milan pada awal musim 2023/24 dengan yuran perpindahan £43.5 juta (RM262 juta).
Martinez kini sibuk dengan kempen Copa America 2024 bersama Argentina. Beliau membantu La Albiceleste layak ke separuh akhir selepas menafikan dua penalti Ecuador di peringkat suku akhir.