Ketua jurulatih, Kim Pan-gon dilaporkan sedang diburu oleh juara Liga China, Shanghai Port yang mahu mendapatkan khidmat beliau bagi musim baharu.
Kelab China ini mengharungi musim yang cukup cemerlang tahun ini apabila muncul selaku juara Chinese Super League sungguhpun berdepan saingan sengit Shandong Taishan.
Khidmat ketua jurulatih, Javier Pereira bagaimanapun tidak bertahan lama selepas beliau membuat keputusan untuk berundur selepas 9 bulan menjawat jawatan tersebut.
Sepanjang tempoh tersebut, beliau diuji hebat selepas pasukannya disingkirkan oleh jaguh Thailand, BG Pathum United dalam pusingan Play-Off Liga Juara-Juara AFC (ACL) musim ini.
Menerusi laporan dari media China, kelab tersebut telah menyenaraikan beberapa nama yang berpotensi untuk mengambil alih jawatan tersebut.
Antara nama tersebut ialah ketua jurulatih FC Seoul, Kim Gi-dong, Kim Pan-gon, Aitor Karanka dan juga beberapa jurulatih yang memiliki pengalaman melatih pasukan di Bundesliga.
Pengendali kelahiran Korea Selatan itu sudah pasti meraih banyak pujian dan pemerhatian selepas melalui tempoh yang cukup cemerlang tahun ini.
Beliau berjaya membimbing Harimau Malaya untuk meraih dua kemenangan di pentas Kelayakan Piala Dunia 2026 dan melonjak ke kedudukan 130 dunia.
Malaysia memiliki misi besar apabila bakal beraksi di Piala Asia 2024 di Qatar apabila diundi berdepan Korea Selatan, Bahrain dan Jordan selain masih memiliki kontrak bersama skuad negara sehingga tahun 2025.