Jumlah baki akaun Perak FC mengejutkan ramai pihak menjelang penutup musim 2024/25.
The Bos Gaurus menamatkan saingan musim ini di tangga ketujuh Liga Super susulan 8 kemenangan, 6 seri dan 10 kekalahan di bawah kendalian Yusri Che Lah.
Situasi kelab Utara tanah air itu bagaimanapun semakin sukar selepas difahamkan tidak memiliki kedudukan kewangan yang stabil menjelang penghujung musim.
Menerusi perkongsian kepada wartawan Astro Arena, Fina Nasrom, Pengurus Perak FC iaitu Datuk Seri Azim Zabidi memberi gambaran awal terhadap kedudukan semasa pasukan itu.
“Memanglah ramai tidak bersetuju, maki dan mencaci saya macam-macam. Pada akhirnya, itu sahaja yang kita ada.
“Kita menangis keluar darah pun, itu sahaja yang kita ada. Pelabur-pelabur yang ada dahulu, mereka tidak akan lagi memasukkan dana untuk Perak FC.
“Ini disebabkan mereka beranggapan bahawa dana RM40 Juta itu sudah cukup rugi, apa pun tak dapat,” katanya kepada Astro Arena.
Difahamkan, baki akaun Perak FC kini hanya tinggal RM1 Juta untuk melangsaikan baki hutang kelab terhadap para pemain dan barisan kejurulatihan.
Masa depan Perak FC kini menjadi tanda tanya selepas dikhabarkan tidak akan lagi bersaing dalam kancah bola sepak Malaysia pada musim hadapan.