Jumlah tontonan terbaru Saudi Pro League (SPL) dilihat merudum teruk.
Ini selepas stesen televisyen Perancis, Canal+Foot berkongsi jumlah penonton yang menonton aksi membabitkan kelab Cristiano Ronaldo, Al-Nassr dan Damac baru-baru ini.
Canal+Foot melaporkan aksi berkenaan hanya ditonton seramai 4,000 penonton sahaja pada 29 November lalu.
Angka ini lebih teruk daripada angka tontonan aksi membabitkan Al-Hilal dan Al-Ittihad pada Mac lalu untuk musim 2023/24. Aksi tersebut hanya ditonton seramai 5,000 penonton sahaja.
Trend ini juga menyebabkan tiada penyiar di 130 buah wilayah di seluruh dunia tidak mendedahkan jumlah sebenar tontonan bagi setiap aksi SPL. Situasi ini tidak dibantu dengan jumlah kehadiran dalam saingan SPL.
Semakan data kehadiran SPL di Transfermarkt untuk musim 2024/25 menyaksikan tiket untuk dua aksi SPL membabitkan Al-Nassr sahaja yang habis dijual. Kelab SPL, Al-Wehda merekodkan kehadiran terendah seramai 656 orang dalam lapan perlawanan.
Bekas pengarah sukan Canal+, Cyril Linette percaya hal ini berlaku kerana SPL gagal menunjukkan mereka berbeza dengan saingan liga-liga Eropah. Sekiranya situasi ini berterusan, ini menyukarkan SPL bersaing menjadi entiti liga komersial yang bagus.
“Liga ini sama macam liga-liga lain. Ia patut mencabar norma, memanfaatkan pilihan hiburan sepenuhnya.
“Pertandingan yang bermula dari awal, jika ia tidak mencipta ciri-ciri yang membezakannya dengan liga lain, ia tiada peluang untuk berjaya,” katanya seperti yang dilaporkan Get Football News France.
Situasi ini perlu diatasi segera lebih-lebih lagi dengan Arab Saudi menjadi tuan rumah Piala Asia 2027 dan Piala Dunia 2034.